Friday, 14 February 2025

Sekeping Asam, Sejuta Cerita

Seperti asam keping—masam manis persahabatan yang menyedapkan kehidupan!

Suasana di Homestay Dusun Tok Langit yang tadi cerah mula berubah warna, matahari terik berganti redup menjelang senja. Sesekali, angin petang membawa aroma buah-buahan masak dari dusun, menambah ketenangan yang sukar digambarkan. Pohon-pohon rambutan dan manggis melambai ditiup angin petang, sementara deretan meja panjang di bawah wakaf kayu penuh dengan pelbagai juadah sumbangan para "Sweet 17"—laksa, sate, rojak buah, air tebu, halwa maskat, kek, brownie, dan tidak ketinggalan kuih-muih tradisional yang membangkitkan nostalgia. Reunion "Sweet 17 Reunion SMAI 90 PT2.0" berlangsung dengan penuh keceriaan. Gelak tawa sahabat lama mengisi ruang, menggamit kenangan zaman persekolahan.

Kak Chik berdiri di sisi meja goodies bag yang tersusun kemas. Di dalamnya, terselit satu benda istimewa—sepeket asam gelugur buatan tangan, hasil dari pokok asam gelugur di halaman rumahnya. Benda kecil ini menyimpan seribu cerita.

"Eh, Kak Chik! Asam keping ni handmade ke?" Suara ceria Nurfah aka Kak Pah mencuit lamunannya.

"Ha'ah, Pah. Dari pokok belakang rumah. Teringat arwah Mak yang selalu hiris nipis-nipis dan jemur dekat para buluh," balas Kak Chik dengan senyum meleret.

Mata-mata lain mula tertumpu pada perbualan mereka. Di bawah redup senja, perbualan menjadi semakin rancak.

"Dulu kita ingat asam keping ni untuk masak gulai je. Rupanya banyak manfaatnya," celah Rizana aka Mak Su yang sedari tadi meneliti kepingan asam itu.

"Betul tu, Mak Su! Aku pernah guna air rendaman asam keping untuk kurangkan sakit sendi," sahut Isma sambil mengurut lututnya yang sering sengal sejak memasuki usia lima puluhan.

"Aku pulak guna untuk rendam kaki. Tumit merekah pun boleh licin balik," sampuk Suraya, bekas pengawas yang kini menjadi usahawan air tebu.

"Jangan lupa kuah laksa! Kalau tak ada asam keping, hilang rasa padu dia!" celah Azreen, si hantu laksa yang memang terkenal dengan laksa resepi turun-temurun keluarganya.

Tiba-tiba, Yuza mencelah dengan suara teruja. "Weh, korang tahu tak, kalau demam, boleh rebus asam keping dengan serai, pastu minum airnya. Memang lega!"

"Ha'ah! Aku pun pernah buat! Kalau batuk, rendam asam keping dalam air suam, minum macam teh. Sedap weh!" sambung Shima, teruja berkongsi.

"Asam keping ni lebih dari sekadar bahan masakan. Dulu, mak-mak kita buat sendiri, hiris dengan penuh sabar, jemur dengan harapan anak-anak dapat menikmati makanan yang sedap dan berkhasiat," kata K Own, sambil membelek sekeping asam keping di tangannya.

"Aku pernah dengar kalau nak kurus, kena minum air rendaman asam keping ni," kata Syitah sambil mengangkat kepingan asam itu ke arah cahaya.

"Betul tu! Nak rambut sihat pun boleh, bilas dengan air asam keping," tambah Yati sambil menyisir rambutnya sendiri, seakan membayangkan hasilnya.

"Kalau nak hilangkan daki, skrub je dengan asam keping dan beras. Kulit jadi bersih dan licin," sambung Syamila dengan penuh keyakinan.

"Yang paling best, kalau nak halau lipas, letak je asam keping di dapur. Lipas pun lari tak cukup tanah!" gelak Nuui, membuatkan semua yang mendengar turut ketawa.

"Banyak petua, semua guna satu bahan sahaja!" ujar Peah sambil tersengih. "Mana satu yang korang nak cuba dulu?"

"Haaa, kalau kena gigitan nyamuk atau serangga, gosok je asam keping dekat tempat gatal tu. Hilang terus gatal!" kata Peah yang tiba-tiba teringat petua maknya.

"Eh, aku ada satu lagi! Kalau nak kecilkan perut, bangun pagi-pagi minum air asam keping suam. Campur sikit madu, lepas sebulan insya-Allah slim!" ujar Sidrah sambil menepuk perutnya sendiri.

"Bukan tu je, kalau nak bersihkan periuk yang berkerak, rebus air dengan asam keping dalam periuk tu. Sekali gosok je, bersih berkilat!" tambah Liza sambil mengangkat kening.

Satu meja tergelak besar. Semua berebut nak kongsi petua masing-masing, sampai tak cukup nafas dibuatnya.

Tiba-tiba, suara riuh rendah di meja sebelah menarik perhatian mereka. Peah dan Yuza sedang berebut secucuk sate arnab yang tinggal secucuk terakhir.

"Aku nampak dulu!" kata Peah sambil menjeling.

"Tapi aku yang pegang senduk! Aku ada kuasa veto!" Yuza tak mahu mengalah, sambil menjeling nakal. Dia segera mencelup senduk ke dalam periuk dan mencedok kuah kacang pekat ke dalam mangkuk. "Bubuh nasi himpit & kuah kacang dulu, baru boleh runding!"

Satu meja tergelak besar. "Sanggup gaduh sebab sate secucuk!" kata Liza sambil mengesat air mata kerana terlalu banyak ketawa.

"Alah, Peah, kau pun. Ambil asam keping tu, kunyah-kunyah. Manalah tahu boleh lupakan sate," usik Sidrah yang memang terkenal dengan lawak selambanya.

Habis satu wakaf kayu bergegar dengan gelak tawa. Inilah yang mereka rindukan—kegilaan zaman remaja yang masih tersisa walaupun usia sudah separuh abad.

Kak Chik tersenyum. Tidak sia-sia dia memilih asam keping sebagai cenderamata. Benda yang nampak biasa tapi punya seribu satu rahsia.

"Kadang-kadang, persahabatan ni macam asam keping. Dulu, kita mungkin anggapnya sekadar bahan masakan biasa, tapi semakin lama kita sedar, kehadirannya menambah rasa dan mencipta kenangan. Seperti bagaimana kita tertawa bersama mengingat kisah lama, atau berkongsi petua yang diwarisi turun-temurun, setiap kepingan membawa nilai yang lebih mendalam. Ada masa masam, ada masa manis. Tapi kalau tak ada dalam hidup, ada yang kurang," kata Kak Chik perlahan.

Masing-masing terdiam seketika. Mata-mata bertentang, hati terasa hangat. Secebis asam keping di tangan kini bukan sekadar rempah, tapi cebisan kenangan yang akan terus dikenang.

"Eh, eh! Sapa nak masuk sesi terjun kolam lepas ni? Nak tengok siapa paling hebat gaya Pandelela Rinong, atau semua nak sambung bergaduh pasal sate?" suara Keah mengingatkan tentang acara seterusnya.

"Aku nak! Tapi dengan syarat ada ayaq kopi ayaq tangan Pijah sambil cicah roti 4 segi!" jerit Nazirah.

Satu homestay bergema dengan sorakan. Peah, Mila, Sidrah, Liza, Lin, Linda, Yati, K Own aka PK, Syitah, Yuza, Shima, Nazirah, Keah, Nuui dan yang lain-lain saling berpandangan, tersenyum dan mengangguk. Dalam sinar matahari yang makin redup, mereka tahu—kenangan dan persahabatan ini akan kekal, seperti rasa asam keping yang melekat dalam ingatan.

No comments:

Post a Comment